Gambaran Syurga

Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Firdaus". Di atas Firdaus inilah terletak "Arsy Rahman (Mahligai Tuhan).

Segala yang ada di syurga itu indah-indah belaka jauh lebih indah dari apa yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di syurga ialah pandangan terhadap Allah, tidak sesuatu kenikmatan lain yang dapat melebihi keistimewaannya.

Cuba kita bayangkan di dunia ini sahaja, kalaulah kita diberikan kesempatan bertemu dan berbual-bual dengan salah seorang pemimpin negara, tentu kita akan sangat gembira dan bahagia dengan pengalaman tersebut. Inikan pula akan bertemu dengan Allah yang menciptakan dunia ini.

Firman Allah swt :


وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ , إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (Al-Qiaamah 22,23)

Dalam hal ini pernah Nabi Musa a.s. meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang bagaimana juga kukuhnya akan hancur bila Tuhan menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.

Taman-taman di syurga.

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.


قال رسول الله ص، قال الله عزوجل : أعددت لعبادى الصالحين ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر، واقرءوا إن شئتم : ( فلا تعلم نفس ما أخفي لهم من قرة أعين

Rasulullah Saw bersabda bahwa Allah Swt berfirman: "Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang shaleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam benak manusia. Oleh karena itu bacalah kalau kamu ayat: 'Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.' (As-Sajdah: 17)." (Bukhari & Muslim)

Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-macam taman yang dihiasi indah dengan aneka macam tumbuhan dan bermacam-macam bunga, di situ kita boleh menghabiskan masa berjam-jam sambil menikmati keindahannya juga mencari ketenangan. Maka begitu juga di syurga, Allah menciptakan taman-taman bagi penghuninya.

Pintu-pintu syurga.

Sebelum masuk ke syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu ini ada bermacam-macam pula jenisnya. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran :


هَذَا ذِكْرٌ وَإِنَّ لِلْمُتَّقِينَ لَحُسْنَ مَآبٍ , جَنَّاتِ عَدْنٍ مُفَتَّحَةً لَهُمُ الأَبْوَابُ

(Segala sifat-sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (Saad 49,50)

Rasulullah bersabda: Demi Allah, demi antara dua ambang pintu syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan Basrah.

Jelaskan pada kita betapa luasnya pintu-pintu yang terdapat di dalam syurga.

Istana di syurga.


لَكِنْ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِنْ فَوْقِهَا غُرَفٌ مَبْنِيَّةٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَعْدَ اللَّهِ لاَ يُخْلِفُ اللَّهُ الْمِيعَاد

Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya. (Az-Zumar 20)

Tanahnya dari za'faran, pasir dari kasturi, rumah-rumah yang dibina dari mutiara zamrud dan istana yang mengalir dibawah sungai-sungai. Tidak didengari bisingnya kenderaan, teriakan atau jeritan kanak-kanak dan sebagainya, akan tetapi didengari suara-suara yang menyenangkan.

Firman Allah swt :


لاَ يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلاَ تَأْثِيمًا ، إِلاَّ قِيلاً سَلاَمًا سَلاَمًا

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa, Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain). (Al-Waaqi'ah 25,26)

Pohon-pohon dan buah-buahan di syurga.

Keindahan alam dengan pohon-pohon yang rimbun menghijau serta aneka macam jenis bunga-bunga yang menawan dapat memberikan kedamaian jiwa bagi siapa yang memandangnya.

Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-tengah kebun bunga yang seperti itu ditambah pula dengan pohon-pohon yang mengeluarkan bermacam-macam jenis buah-buahan,tentu kita akan asyik dan enggan pergi atau meninggalkan tempat tersebut.

Di syurga, Allah memberikan kepada penghuni-penghuninya lebih dari itu sebagaimana firmanNya :


مُتَّكِئِينَ فِيهَا يَدْعُونَ فِيهَا بِفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ وَشَرَابٍ , وَعِنْدَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ

(Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.

Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Saad 51,52)


وَفَاكِهَةٍ مِمَّا يَتَخَيَّرُون ، وَلَحْمِ طَيْرٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (Al-Waaqi'ah 20,21

Serta buah-buahan yang banyak, Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya. (Al-Waaqi'ah 32,33)

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya. (Al-Waqiah: 27-33)


Mudah-mudahan dengan segala gambaran diatas menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah swt, tidak berputus asa dalam melaksanakan suruhanNya. Istiqamah dalam melakukan amal kebaikan dan seterusnya kita memohon mudah-mudahan tergolong di kalangan ahli-ahli syurga. Amin…..

Segala dalil-dalil diatas hanya sebahagian sahaja, banyak lagi kisah-kisah daripada Quran & Hadis. Jika kita sudah kecapi segala nikmat di dunia ini, Syurga diakhirat nanti tidak dapat kita bayangkan dan tidak terlintas sedikitpun difikiran manusia.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat, melakukan sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim dan melakukan amal-amal kebajikan serta berbuat baik terhadap ibu-bapa dan sebagainya.

Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Memohon restu kehadrat Allah swt semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara. Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

No comments: